ARKIB : 30/04/2000
WALAUPUN hampir separuh usianya
dihabiskan dengan bermain badminton, namun, Rashid Sidek belum bersedia
menggantung raket walaupun setelah berjaya menjulang Piala Thomas buat kali
kedua.
Pemain yang mencecah usia 32
tahun kira-kira dua bulan lagi itu tetap mahu beraksi untuk beberapa tahun lagi
walaupun menjangkakan penyertaan pada Piala Thomas kali ini merupakan yang
terakhir.
''Ketika ini saya belum
memikirkan soal bersara. Malah saya akan tetap beraksi untuk beberapa tahun
lagi selagi terdaya,'' katanya ditemui baru-baru ini.
Dalam diam-diam anak bongsu
keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar bagaimanapun ada menyimpan hasrat untuk
mengikuti jejak langkah abangnya, Razif melibatkan diri dalam perniagaan.
''Sekiranya saya mendapat
peluang seperti Razif dan Foo Kok Keong, pasti saya tidak akan melepaskannya,''
ujarnya mengulas mengenai perniagaan kereta nasional yang dijalankan oleh
kedua-dua bekas pemain negara itu.
Mengenai penyertaanya pada
Kejohanan Piala Thomas yang kelapan itu, ketua pasukan negara itu meletakkan
harapan tinggi untuk sekali lagi menjulangnya.
''Saya benar-benar berharap
untuk memenangi piala ini sekali lagi dan ini mungkin kali terakhir untuk
memperolehnya,'' katanya lagi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TNUNTjsV
© Utusan Melayu (M) Bhd