ARKIB : 01/11/2008
KUALA LUMPUR - Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) telah melantik Rashid Sidek sebagai ketua jurulatih
perseorangan, sementara Rexy Mainaky dilantik menjadi ketua jurulatih beregu
dalam struktur kejurulatihan baru yang dipersetujui pada satu mesyuarat khas
semalam.
Timbalan Presiden BAM, Datuk
Roland Wong Choon Tat berkata, dalam struktur kejurulatihan baru itu, kedua-dua
mereka akan bergerak di bawah penyelarasan Pengurus Besar BAM Kenny Goh selaku
ketua penyelaras kejurulatihan yang baru.
"Tapi kedua-dua jurulatih
diberi kuasa untuk membentuk program latihan sendiri selain berkuasa membuat
pemilihan pemain untuk mana-mana kejohanan," katanya semalam.
Peranan Kenny, katanya, lebih
bersifat pentadbiran dan pengurusan.
Sementara itu, ketua jurulatih
kebangsaan yang lama, Yap Kim Hock telah mendapat tawaran untuk menjadi
jurulatih dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), katanya.
Sehubungan itu kata Roland,
senarai 12 pemain perseorangan lelaki dan enam pemain perseorangan wanita akan
diletakkan di bawah tanggungjawab Rashid sementara 19 pemain beregu lelaki dan
12 pemain beregu wanita akan diletakkan di bawah Rexy.
"Mereka akan membuat
penilaian terhadap prestasi pemain untuk persediaan Piala Thomas 2010 dan Sukan
Olimpik 2012," katanya.
Antara perseorangan yang
diletakkan di bawah Rashid adalah Datuk Lee Chong Wei, Muhd. Hafiz Hashim dan
Wong Mew Choo sementara Rexy akan bertanggungjawab kepada beregu Tan Boon
Heong-Koo Kien Keat serta beregu Mohd. Zakry Abd. Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari.
Rashid sebelum ini adalah
jurulatih skuad pelapis kebangsaan, sementara Rexy bertindak sebagai jurulatih
beregu.
Dalam perkembangan lain,
Malaysia telah dipilih sebagai lokasi pusingan akhir Siri Super yang akan
berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dari 18-21 Disember ini.
Pusingan akhir Siri Super itu
menawarkan hadiah wang tunai RM1.77 juta.
- Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz512W1NIJ4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan