Khamis, 29 November 2018

Ingatan Rashid bahaya 'pengacau'


 
ARKIB : 05/08/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek (kiri) berbincang dengan Lee Chong Wei yang menerima rawatan fisioterapi selepas menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam. Skuad badminton negara kini melakukan persiapan ke Kejohanan Dunia di Hyderabad minggu depan.

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih badminton negara, Rashid Sidek lebih suka menyifatkan perseorangan lelaki Vietnam, Nguyen Thien Minh sebagai 'pengacau' dan bukannya, giant killer pada Kejohanan Dunia di Hyderabad, India dari Isnin hingga 16 Ogos ini.

Rashid yang ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam juga kurang berminat untuk terlalu menggembar- gemburkan juara Terbuka Thailand dan Vietnam itu yang turut sempat mengejutkan pemain nombor satu dunia dari Malaysia, Datuk Lee Chong Wei di Singapura, Jun lalu itu.

"Dia boleh jadi pengacau tetapi bukanlah pemusnah gergasi yang wajar digeruni sesiapa. Cuma mana-mana pemain handalan wajar sentiasa fokus dan berhati-hati kerana dia diakui mampu menggugat apabila tiba 'harinya yang menjadi,'' katanya.

Chong Wei akan membuka tirai aksi Kejohanan Dunia di Hyderabad dengan menghadapi pemain Jerman, Dieter Domke sebelum bakal berdepan dengan Rajiv Ouseph dari England dalam pusingan kedua.

Tien Minh, juara Terbuka Vietnam lima kali pula menghadapi Peter Koukal dari Republik Czech sebelum menentang pemenang perlawanan Brice Leverdez dari Perancis dengan Henrik Toth (Hungary).

Sementara itu, perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo tidak akan membenarkan kecederaan lama lutut kanannya membatasi keinginannya untuk menyerlah pada Kejohanan Dunia sekali gus memperbaiki pencapaian terbaik suku akhir 2007.

Justeru dia yang bakal berdepan cabaran getir seawal pusingan ketiga menentang bekas juara Olimpik dan dunia, Zhou Mi, sentiasa mendapatkan rawatan pemulihan di sebuah hospital swasta untuk memastikan kecergasannya di tahap terbaik.

"Kedua-dua lutut saya masih terasa sakit kesan kecederaan lama, terutama yang sebelah kanan tetapi atas semangat dan kemahuan untuk memburu kejayaan, semua itu bukan halangan besar," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Tuah tampak kurang menyebelahi Mew Choo kerana diundi menentang pemain Hong Kong itu manakala rakannya, Lydia Cheah perlu berdepan Wang Chen dari Hong Kong seawal pusingan kedua lagi dalam Kejohanan Dunia.

Mengenai sesi latihan fasa terakhir menjelang tiga hari sebelum berlepas ke Hyderabad, kata Mew Choo: "Saya cuba menggilap pukulan penyudah supaya lebih tajam dan tepat yang masih belum cukup memuaskan saya ketika ini.

"Walaupun perlu melepasi Zhou Mi, saya masih menganggap halangan awal seorang pemain Jepun pada pusingan kedua. Dia belum pernah ditemui dan saya perlu berhati-hati.''

Selain halangan pemain China, Mew Choo yang menjuarai Mini Olimpik dengan menewaskan Lydia 24-22, 21-17, turut perlu berwaspada dengan penularan wabak selesema H1N1 di seluruh dunia yang kembali berleluasa ketika ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YJGUzMqb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan