ARKIB : 25/03/1998
PEMAIN perseorangan negara, Rashid Sidek mahu mencipta hat trik dengan
mencapai kejayaan ketiga dalam acara perseorangan di Sukan Komanwel '98 (KL
'98) di Kuala Lumpur, September ini.
Beliau yang meraih emas dalam dua dua kejohanan lalu meletakkan sasaran
berkenaan sebagai hadiah istimewa kepada negara sebelum bersara dari arena
berkenaan.
Jelasnya, penyertaannya dalam KL '98 nanti sudah semestinya menjadi tumpuan
memandangkan kejayaannya akan membawa erti mendalam dalam kejohanan berkenaan.
Rashid sebelum ini merangkul emas dalam perseorangan semasa di Sukan
Komanwel di Auckland, New Zealand (1990) dan Victoria, Kanada (1994).
Katanya, KL '98 akan memberi cabaran getir terutama sudah semakin ramai
jaguh perseorangan dari negara komanwel muncul.
Jelasnya, adalah satu yang membanggakan kepada dirinya dan negara sekiranya
kejayaan tersebut dicapai bagi meletakkan penguasaan negara dalam acara berkenaan.
''Saya meletakkan KL '98 sebagai sesuatu yang penting dalam karier dan
kejayaan pasti akan memberi kenangan paling manis,'' katanya selepas merasmikan
Majalah HOBI di Kuala Lumpur, semalam.
Rashid bagaimanapun mengakui tekanan yang diterima dalam menyandang
kejuaraan di KL '98 nanti adalah dari rakan senegara berbanding pemain luar.
Katanya, kemampuan pemain perseorangan negara kini semakin menyerlah dan
mula memperlihatkan aksi bertaraf dunia.
''Saya mengakui tekanan daripada pemain negara adalah lebih hebat daripada
pemain negara lain,'' tegasnya.
Namun Rashid menegaskan, kemampuan rakan senegara dalam acara perseorangan
bukanlah sesuatu yang harus digusarkan kerana membawa kebaikan kepada negara
secara keseluruhan
''Kemampuan pemain perseorangan negara sekali gus memberi kelebihan untuk
memilih pelapis pada masa hadapan.
''Keadaan ini seharusnya membanggakan kerana kita sudah tidak ketandusan
pemain perseorangan berbanding dahulu,'' jelasnya.
Mengenai persiapan menjelang Piala Thomas, Rashid menjelaskan yang setakat
ini pasukan negara mula menjalani latihan secara berpusat.
Pemain dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Nusa Mashuri mula
menjalani latihan bersama dua kali seminggu bermula semalam.
''Kami semakin bersedia dan akan memberi cabaran terbaik semasa di Hong
Kong nanti,'' jelas beliau.
Rashid yang diletakkan dalam perseorangan ketiga berjanji akan memberi
komitmen sepenuhnya bagi membawa Malaysia ke tangga terbaik.
''Sumbangan kepada negara adalah penting bagi memartabatkan kemampuan skuad
negara di mata dunia,'' tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan