ARKIB : 22/11/2002
Oleh Johari Shawal
BEKAS pemain kebangsaan, Rashid
Sidek amat bersedia memikul tugas selaku jurulatih perseorangan negara jika
mendapat tawaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bagaimanapun, bekas jaguh
perseorangan berusia 34 tahun itu belum menerima sebarang surat tawaran
daripada badan induk sukan itu tetapi perbincangan mengenainya sudah diadakan.
``Saya ada berbincang dengan
pegawai BAM dan telah pun berjumpa dengan (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara),
Datuk Wira Mazlan Ahmad di pejabat beliau, semalam.
``Perbincangan lebih kepada tugas
itu tetapi sama ada saya menjadi jurulatih atau tidak akan ditentukan selepas
BAM mengadakan mesyuaratnya, Rabu depan,'' kata Rashid.
Katanya, belum ada sebarang
pegawai atasan BAM menemui atau menghubunginya mengenai perkara itu.
``Saya hanya mendengar khabar ini
daripada media massa tetapi jika benar BAM mahukan saya, saya bersedia memikul
tugas itu,'' katanya.
Beliau bercakap demikian ketika
ditemui selepas majlis pratonton filem Cinta 200 Ela yang dibintangi Rashid, di
KLCC, Kuala Lumpur, semalam.
Rashid mengulas mengenai
desas-desus yang mengatakan BAM mahu beralih kepada jurulatih tempatan untuk
mengendalikan barisan pemain negara selepas kontrak jurulatih terdahulu, Indra
Gunawan dari Indonesia tidak disambung.
Selain Rashid, abangnya Misbun
turut dikatakan menjadi pilihan BAM untuk mengendali pemain negara.
Bagaimanapun Rashid berkata, dia
tidak mahu terburu-buru memberi keputusan jika mendapat tawaran daripada BAM.
``Saya perlu mengkajinya terlebih
dahulu kerana bukan mudah untuk menjadi jurulatih.
``Saya perlu mendapatkan
pandangan daripada jurulatih lain, termasuk abang saya (Misbun),'' kata Rashid.
Rashid juga berkata, jika dia
menerima tawaran itu, kemungkinan tugasnya di kelab Nusa Mahsuri sebagai
pembantu Misbun akan dilepaskan.
``Tetapi itu tidak bermakna saya
tidak langsung mengabaikan pemain Nusa Mahsuri. Mereka masih boleh menjalani
latihan bersama BAM seperti yang dilakukan sebelum ini apabila ada pemain Nusa
yang bertanding pada peringkat antarabangsa bersama pemain BAM,'' katanya.
Rashid mula menceburi sukan
badminton pada usia 17 tahun ketika keluarga Sidek lebih dikenali menerusi
kecemerlangan tiga abangnya, Misbun dan pasangan beregu, Razif dan Jalani
sebelum menggantung raket pada 2000.
Dalam tempoh itu, pelbagai
kejayaan dikecapinya dalam kejohanan kebangsaan dan antarabangsa termasuk
merangkul pingat emas dalam dua temasya Sukan Komanwel dan gangsa pada Sukan
Olimpik 1996 di Atlanta.
Misbun yang turut hadir pada
majlis pratonton itu enggan mengulas mengenai perkara itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cP53cVMV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan