Selasa, 20 Disember 2016

Rashid belum fikir soal bersara

ARKIB : 30/04/2000
WALAUPUN hampir separuh usianya dihabiskan dengan bermain badminton, namun, Rashid Sidek belum bersedia menggantung raket walaupun setelah berjaya menjulang Piala Thomas buat kali kedua.

Pemain yang mencecah usia 32 tahun kira-kira dua bulan lagi itu tetap mahu beraksi untuk beberapa tahun lagi walaupun menjangkakan penyertaan pada Piala Thomas kali ini merupakan yang terakhir.

''Ketika ini saya belum memikirkan soal bersara. Malah saya akan tetap beraksi untuk beberapa tahun lagi selagi terdaya,'' katanya ditemui baru-baru ini.

Dalam diam-diam anak bongsu keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar bagaimanapun ada menyimpan hasrat untuk mengikuti jejak langkah abangnya, Razif melibatkan diri dalam perniagaan.

''Sekiranya saya mendapat peluang seperti Razif dan Foo Kok Keong, pasti saya tidak akan melepaskannya,'' ujarnya mengulas mengenai perniagaan kereta nasional yang dijalankan oleh kedua-dua bekas pemain negara itu.

Mengenai penyertaanya pada Kejohanan Piala Thomas yang kelapan itu, ketua pasukan negara itu meletakkan harapan tinggi untuk sekali lagi menjulangnya.

''Saya benar-benar berharap untuk memenangi piala ini sekali lagi dan ini mungkin kali terakhir untuk memperolehnya,'' katanya lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TNUNTjsV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan