ARKIB : 16/01/2000
RASHID SIDEK
PEMAIN Nusa Mahsuri, Rashid
Sidek menempah tiket ke perlawanan akhir setelah menewaskan seorang lagi pemain
negara, Ismail Saman di separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan
di Hanra Gymnasium, Cheju Island, semalam.
Pemain veteran berusia 31 tahun
itu nyata menggunakan pengalaman untuk menewaskan bekas rakan sekelabnya itu
walaupun terpaksa beraksi hingga ke rubber set sebelum menang 15-5, 12-15,
15-4.
Kemaraan itu menyaksikan Rashid
akan membuat perhitungan terakhir dengan pemain nombor satu dunia yang juga
diletakkan sebagai pilihan kejohanan, Peter Gade Christensen bagi memburu
gelaran juara kejohanan bertaraf enam bintang bernilai AS$250,000 (RM950,000).
Gade Christensen yang dilihat
sebagai pemain terbaik memenangi pertandingan itu berdasarkan kedudukan
rankingnya mara setelah menewaskan pilihan 5/8 Luo Yigang dari China 17-14,
17-16.
Berdasarkan rekod pertemuan
yang lebih memihak kepada Gade Christensen, Rashid mengakui akan mengharungi
perlawanan sukar di pusingan akhir itu.
''Perlawanan esok pastinya
sukar. Saya hanya pernah menang sekali dalan semua pertemuan dengan Peter iaitu
pada pusingan ketika Terbuka Jerman 1996.
''Saya juga tewas pada
pertemuan terakhir dengan Peter, juga dipusingan ketiga Terbuka Singapura,
tahun lalu,'' katanya.
Walaupun sukar namun Rashid
sudah mula memperhitungkan peluangnya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney,
September ini.
''Kini peluang saya semakin
cerah untuk ke Olimpik tetapi saya perlu berhati-hati agar tidak mengalami
kecederaan dan memastikan mara sekurang-kurangnya ke suku akhir setiap
kejohanan terbuka yang disertai,'' katanya.
Mengenai pertemuan dengan
Ismail, semalam, Rashid mengakui ada peningkatan dalam tahap permainan lawannya
itu setelah meninggalkan Nusa Mahsuri, April tahun lalu.
''Ismail bermain dengan baik
pada perlawanan tadi (semalam). Berbanding dengan perlawanan ketika latihan
bersama dulu, terdapat peningkatan dalam permainan Ismail di kejohanan ini,''
katanya.
Dalam satu lagi perkembangan,
dua beregu Indonesia bertemu di perlawanan akhir setelah Candra Wijaya-Tony
Gunawan dan Ricky Subagja-Rexy Mainaki menewaskan lawan masing-masing.
Candra-Tony yang diletakkan
sebagai pilihan kedua menewaskan beregu tuan rumah, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sue
15-7, 8-15, 17-14.
Beregu veteran Indoensia,
Ricky-Rexy pula menyingkirkan rakan sepasukan, Flandi Limpele-Eng Heng yang
tewas 3-15, 8-15
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SrnmStIV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan