Selasa, 20 Disember 2016

Rashid belum fikir soal bersara

ARKIB : 30/04/2000
WALAUPUN hampir separuh usianya dihabiskan dengan bermain badminton, namun, Rashid Sidek belum bersedia menggantung raket walaupun setelah berjaya menjulang Piala Thomas buat kali kedua.

Pemain yang mencecah usia 32 tahun kira-kira dua bulan lagi itu tetap mahu beraksi untuk beberapa tahun lagi walaupun menjangkakan penyertaan pada Piala Thomas kali ini merupakan yang terakhir.

''Ketika ini saya belum memikirkan soal bersara. Malah saya akan tetap beraksi untuk beberapa tahun lagi selagi terdaya,'' katanya ditemui baru-baru ini.

Dalam diam-diam anak bongsu keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar bagaimanapun ada menyimpan hasrat untuk mengikuti jejak langkah abangnya, Razif melibatkan diri dalam perniagaan.

''Sekiranya saya mendapat peluang seperti Razif dan Foo Kok Keong, pasti saya tidak akan melepaskannya,'' ujarnya mengulas mengenai perniagaan kereta nasional yang dijalankan oleh kedua-dua bekas pemain negara itu.

Mengenai penyertaanya pada Kejohanan Piala Thomas yang kelapan itu, ketua pasukan negara itu meletakkan harapan tinggi untuk sekali lagi menjulangnya.

''Saya benar-benar berharap untuk memenangi piala ini sekali lagi dan ini mungkin kali terakhir untuk memperolehnya,'' katanya lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TNUNTjsV © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

Rashid ketuai pasukan negara

ARKIB : 25/04/2000
PEMAIN perseorangan negara, Rashid Sidek dipilih sebagai ketua pasukan negara ke Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber 2000 yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil 11-21 Mei ini.

Rashid, 32, yang mempunyai pengalaman beraksi dalam enam Kejohanan Piala Thomas sejak 1986 sebelum ini dipilih berdasarkan undian oleh pemain menewaskan Cheah Soon Kit yang turut dicalonkan.

''Ini merupakan kali pertama saya dipilih sebagai ketua pasukan.

''Ia merupakan satu penghormatan dan juga satu tanggungjawab besar,'' kata Rashid yang ditemui selepas menjalani latihan pertama di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Menurut Rashid, dia merupakan pemain kedua dalam keluarga Datuk Sidek yang dipilih sebagai ketua pasukan setelah Razif yang mengetuai skuad 1992 yang berjaya merampas semula Piala Thomas selepas 25 tahun.

Menurut pemain Nusa Mahsuri itu, sebagai ketua pasukan dia menjadi orang tengah dalam mengemukakan masalah dan keperluan pemain kepada pihak pengurusan.

''Sekiranya berlaku sebarang masalah, mereka memaklumkannya kepada saya dan saya akan membawa perkara itu kepada pengurusan untuk tindakan lanjut,'' ujarnya.

Selain daripada sebagai pengantara, ketua pasukan juga memikul tanggungjawab memberi semangat kepada pemain-pemain lain dalam skuad itu.

Mengenai latihan pertama di gelanggang sebenar pertandingan semalam, Rashid berkata, keadaan di Stadium Putra lebih baik daripada di Stadium Negara yang digunakan pada Kejohanan Piala Thomas-Uber 1992.

''Di Stadium Negara dulu, sebarang perubahan cuaca di luar stadium turut mempengaruhi keadaan di dalam stadium terutama sekiranya berlaku hujan lebat atau angin kencang, angin itu boleh masuk ke dalam dan ia boleh mengganggu permainan,'' ujarnya.

Menurut Rashid lagi, kedudukannya sebagai perseorangan kedua ataupun ketiga semasa pertandingan itu tidak penting kerana apa yang diinginkannya adalah untuk mempamerkan yang terbaik pada pertandingan Piala Thomas yang terakhir bagi dirinya.

Sementara itu, jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek memaklumkan bahawa pendingin di stadium dipasang semasa latihan pertama, semalam. ''Pendingin hawa ini terpaksa di pasang untuk mengelakkan lantai yang baru dipasang merekah,'' ujarnya.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TKsIayYb © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 14 Disember 2016

Rashid mara pusingan kedua

ARKIB : 20/01/2000
RASHID Sidek berjaya melepasi pusingan pertama selepas diberi tentangan hebat pemain Thailand, Boonsak Polsana pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Pusat Sukan Bandaraya Taipei, semalam.

Dia yang baru ditabalkan naib juara terbuka Korea dikejutkan lawannya dengan 7-15 pada set pertama sebelum menutup cabaran dengan 15-11 dan 15-11 pada set berikutnya.

Seorang lagi pemain negara, Ismail Saman juga disaingi hebat oleh pemain England, Mark Constable sebelum mengesahkan kemenangan 12-15, 15-5 dan 15-5.

Dalam pada itu, kesemua tiga beregu lelaki negara meneruskan kemaraan ke pusingan kedua dengan diketuai pasangan Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock.

Soon Kit-Kim Hock bagaimanapun terpaksa bergelut untuk mencipta kemenangan ke atas pasangan Thailand, Shuket Parapakhanol dan Phatapol Ngernsrisuk dengan 4-15, 15-3 dan 17-14.

Gandingan Chan Choong Meng dan Jeremy Gan pula menundukkan pasangan tuan rumah, Wei Chun Yee/Chiau Chun Woon dengan 15-6 dan 15-9 manakala Rosman Razak dan Chew Choon Eng mengalahkan beregu Hong Kong, Chee Kong Ma dan Woon Yoon Yaw dengan 7-15, 15-5 dan 15-4

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SsSdodRu © Utusan Melayu (M) Bhd

Badminton Terbuka Korea -- Rashid akur Peter Gade lebih pantas

RKIB : 17/01/2000
Juara Grand Prix akhir 1999 itu meraih habuan lumayan sebanyak AS$20,000 (RM76,000) sementara Rashid yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara membawa pulang AS$10,000 (RM38,000).

Rashid yang tidak menduga berpeluang mara ke akhir kejohanan bertaraf enam bintang bernilai AS$250,000 (RM950,000) terpaksa akur dengan permainan pantas pemain yang kira-kira sembilan tahun lebih muda daripadanya itu.

Pemain yang kali terakhir muncul naib juara pada Terbuka Taiwan tahun lalu itu kecundang 3-15, 11-15 dalam masa 31 minit.

''Saya agak tertekan tadi (semalam) kerana dia bermain terlalu pantas. Saya sukar mengikuti rentaknya terutama pada set pertama.

''Kepantasannya itu menyebabkan saya hanya mampu mengutip tiga mata pada set pertama ini,'' katanya yang dihubungi di Korea, semalam.

Menurut Rashid, dia mula mendapat rentak pada set kedua dan berjaya mendahului lawannya 6-2 dan 10-7 pada suatu ketika.

Namun dalam usia yang menghampiri 32 tahun dan berdepan dengan pemain seumur 23 tahun, Peter Gade Christensen menggunakan kepantasannya untuk mendahului 12-10 sebelum memastikan kejuaraan menjadi miliknya dengan memenangi set kedua 15-11.

''Saya agak kecewa kerana tidak mampu menggunakan sepenuhnya peluang yang ada,'' ujar Rashid yang akan berlepas ke Taiwan hari ini untuk kejohanan keduanya tahun ini.

Walaupun sekadar muncul naib juara, namum Rashid tetap puas kerana berdepan dengan Gade Christensen di pusingan akhir.

Mengenai peluangnya di Terbuka Taiwan, Rashid mengakui sukar untuknya mempertahan kedudukan selaku naib juara.

''Persaingan di sana tetap sukar seperti di sini (Korea) kerana kebanyakan pemain yang beraksi di Korea akan ke sana.

''Ia bertambah sukar kerana Indonesia turut menghantar lebih banyak pemain berbanding di Korea ini,'' ujarnya.

Sementara itu, beregu tuan rumah, Lee Dong-soo-Yoo Yong-sung muncul juara setelah menewaskan pasangan veteran Indoensia, Ricky Subagja-Rexy Mainaky 15-8, 9-15, 15-4.

Beregu Korea itu mara ke akhir setelah menewaskan pilihan kedua kejohanan yang juga pasangan nombor satu Indonesia, Candra Wijaya-Tony Gunawan 15-7, 8-15, 17-14 di separuh akhir, kelmarin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SsHdzGeD © Utusan Melayu (M) Bhd

Rashid lawan Peter Gade


 

ARKIB : 16/01/2000
RASHID SIDEK 
PEMAIN Nusa Mahsuri, Rashid Sidek menempah tiket ke perlawanan akhir setelah menewaskan seorang lagi pemain negara, Ismail Saman di separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan di Hanra Gymnasium, Cheju Island, semalam.

Pemain veteran berusia 31 tahun itu nyata menggunakan pengalaman untuk menewaskan bekas rakan sekelabnya itu walaupun terpaksa beraksi hingga ke rubber set sebelum menang 15-5, 12-15, 15-4.

Kemaraan itu menyaksikan Rashid akan membuat perhitungan terakhir dengan pemain nombor satu dunia yang juga diletakkan sebagai pilihan kejohanan, Peter Gade Christensen bagi memburu gelaran juara kejohanan bertaraf enam bintang bernilai AS$250,000 (RM950,000).

Gade Christensen yang dilihat sebagai pemain terbaik memenangi pertandingan itu berdasarkan kedudukan rankingnya mara setelah menewaskan pilihan 5/8 Luo Yigang dari China 17-14, 17-16.

Berdasarkan rekod pertemuan yang lebih memihak kepada Gade Christensen, Rashid mengakui akan mengharungi perlawanan sukar di pusingan akhir itu.

''Perlawanan esok pastinya sukar. Saya hanya pernah menang sekali dalan semua pertemuan dengan Peter iaitu pada pusingan ketika Terbuka Jerman 1996.

''Saya juga tewas pada pertemuan terakhir dengan Peter, juga dipusingan ketiga Terbuka Singapura, tahun lalu,'' katanya.

Walaupun sukar namun Rashid sudah mula memperhitungkan peluangnya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney, September ini.

''Kini peluang saya semakin cerah untuk ke Olimpik tetapi saya perlu berhati-hati agar tidak mengalami kecederaan dan memastikan mara sekurang-kurangnya ke suku akhir setiap kejohanan terbuka yang disertai,'' katanya.

Mengenai pertemuan dengan Ismail, semalam, Rashid mengakui ada peningkatan dalam tahap permainan lawannya itu setelah meninggalkan Nusa Mahsuri, April tahun lalu.

''Ismail bermain dengan baik pada perlawanan tadi (semalam). Berbanding dengan perlawanan ketika latihan bersama dulu, terdapat peningkatan dalam permainan Ismail di kejohanan ini,'' katanya.

Dalam satu lagi perkembangan, dua beregu Indonesia bertemu di perlawanan akhir setelah Candra Wijaya-Tony Gunawan dan Ricky Subagja-Rexy Mainaki menewaskan lawan masing-masing.

Candra-Tony yang diletakkan sebagai pilihan kedua menewaskan beregu tuan rumah, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sue 15-7, 8-15, 17-14.

Beregu veteran Indoensia, Ricky-Rexy pula menyingkirkan rakan sepasukan, Flandi Limpele-Eng Heng yang tewas 3-15, 8-15


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SrnmStIV © Utusan Melayu (M) Bhd