Ahad, 20 Oktober 2019

Frost anggap Rashid pengecut


ARKIB : 05/05/1998

TARIK DIRI ...Rashid menunggu lif ke pejabat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Taman Maluri setelah dipanggil untuk membincangkan keputusannya menarik diri daripada skuad Piala Thomas yang akan berlepas ke Hong Kong 14 Mei ini. - Gambar YUSMAN YUNUS.


PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen menganggap tindakan Rashid Sidek menarik diri selepas namanya tersenarai dalam skuad Piala Thomas yang akan berlepas ke Hong Kong, 14 Mei ini sebagai pengecut, SRY ANGRENI MOHD. ZET.
Frost yang kecewa dengan keputusan itu berkata, dia tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan oleh Rashid setelah pelbagai usaha dibuat untuk memastikannya bersedia menyertai pertandingan yang akan berlangsung 16-24 Mei ini.
''Dia seorang pengecut. Dia telah mengaku kalah sebelum bertanding. Dia tidak mahu mencuba,'' katanya yang mengakui penyenaraian Rashid perlu sebagai strategi taktikal untuk mengelirukan pihak lawan.
ARKIB : 05/05/1998

BAM mahu Rashid kekal dalam pasukan





















RASHID.


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) meminta pemain negara, Rashid Sidek supaya mempertimbangkan semula keputusannya menarik diri daripada skuad Piala Thomas yang bakal berlangsung di Hong Kong, bulan ini.
Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Al-Amin Majid berkata, beliau akan berusaha memujuk pemain itu dan akan bertemu jurulatih Morten Frost Hansen dan Misbun Sidek hari ini untuk membincangkan perkara itu dan mengetahui keadaan sebenar pemain veteran berkenaan.
''Kita (BAM) akan berjumpa dengan kedua-dua jurulatih untuk mengetahui keadaan sebenar Rashid sama ada dia benar-benar tidak boleh beraksi untuk negara.
''Kita akan tengok betul-betul kecederaannya kerana kita hanya tahu perkara ini melalui akhbar dan bukan menerusi Rashid atau jurulatihnya sendiri.

Sabtu, 19 Oktober 2019

Rashid mahu cipta hat trik


ARKIB : 25/03/1998
PEMAIN perseorangan negara, Rashid Sidek mahu mencipta hat trik dengan mencapai kejayaan ketiga dalam acara perseorangan di Sukan Komanwel '98 (KL '98) di Kuala Lumpur, September ini.
Beliau yang meraih emas dalam dua dua kejohanan lalu meletakkan sasaran berkenaan sebagai hadiah istimewa kepada negara sebelum bersara dari arena berkenaan.
Jelasnya, penyertaannya dalam KL '98 nanti sudah semestinya menjadi tumpuan memandangkan kejayaannya akan membawa erti mendalam dalam kejohanan berkenaan.
Rashid sebelum ini merangkul emas dalam perseorangan semasa di Sukan Komanwel di Auckland, New Zealand (1990) dan Victoria, Kanada (1994).
Katanya, KL '98 akan memberi cabaran getir terutama sudah semakin ramai jaguh perseorangan dari negara komanwel muncul.
Jelasnya, adalah satu yang membanggakan kepada dirinya dan negara sekiranya kejayaan tersebut dicapai bagi meletakkan penguasaan negara dalam acara berkenaan.
''Saya meletakkan KL '98 sebagai sesuatu yang penting dalam karier dan kejayaan pasti akan memberi kenangan paling manis,'' katanya selepas merasmikan Majalah HOBI di Kuala Lumpur, semalam.
Rashid bagaimanapun mengakui tekanan yang diterima dalam menyandang kejuaraan di KL '98 nanti adalah dari rakan senegara berbanding pemain luar.
Katanya, kemampuan pemain perseorangan negara kini semakin menyerlah dan mula memperlihatkan aksi bertaraf dunia.
''Saya mengakui tekanan daripada pemain negara adalah lebih hebat daripada pemain negara lain,'' tegasnya.
Namun Rashid menegaskan, kemampuan rakan senegara dalam acara perseorangan bukanlah sesuatu yang harus digusarkan kerana membawa kebaikan kepada negara secara keseluruhan
''Kemampuan pemain perseorangan negara sekali gus memberi kelebihan untuk memilih pelapis pada masa hadapan.
''Keadaan ini seharusnya membanggakan kerana kita sudah tidak ketandusan pemain perseorangan berbanding dahulu,'' jelasnya.
Mengenai persiapan menjelang Piala Thomas, Rashid menjelaskan yang setakat ini pasukan negara mula menjalani latihan secara berpusat.
Pemain dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Nusa Mashuri mula menjalani latihan bersama dua kali seminggu bermula semalam.
''Kami semakin bersedia dan akan memberi cabaran terbaik semasa di Hong Kong nanti,'' jelas beliau.
Rashid yang diletakkan dalam perseorangan ketiga berjanji akan memberi komitmen sepenuhnya bagi membawa Malaysia ke tangga terbaik.
''Sumbangan kepada negara adalah penting bagi memartabatkan kemampuan skuad negara di mata dunia,'' tegasnya.

Khamis, 17 Oktober 2019

Rashid belum pasti perseorangan pertama


4.1.98

RASHID Sidek akan menggalas cabaran sebagai pemain perseorangan pertama negara pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Hong Kong jika mampu memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen, Rashid berpeluang menjadi pemain perseorangan pertama jika kedudukannya dalam rankingdunia mengatasi dua lagi rakan senegaranya, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin.
Mengikut peraturan badminton antarabangsa, penentuan kedudukan pemain perseorangan pada cabaran Piala Thomas adalah berdasarkan kedudukan dalam ranking dunia.
Berdasarkan ranking yang dikeluarkan selepas Terbuka Jepun, Ewe Hock dan Hock Kin masih berada di hadapan Rashid dan ini meletakkan mereka sebagai pemain perseorangan pertama dan kedua pada pusingan kelayakan Piala Thomas di Manila yang bermula 15 Februari ini.
Frost yang ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Kuala Lumpur, semalam berkata, kedudukan muktamad pemain perseorangan pertama negara di Hong Kong kelak adalah berdasarkan kedudukan terkini ranking dunia.
''Jika Rashid berjaya memperbaiki kedudukannya selepas pusingan kelayakan di Manila dan menjelang pusingan akhir di Hong Kong, dia mungkin menjadi pemain perseorangan pertama negara,'' katanya. Baginya, Rashid masih dianggap pemain terbaik perseorangan walaupun Ewe Hock dan Hock Kin mengatasinya dalam ranking dunia.
Mengikut senarai yang diumumkan oleh BAM baru-baru ini, Rashid yang tidak banyak menyertai kejohanan antarabangsa tahun lalu, tetapi bertindak cemerlang hingga ke separuh akhir Terbuka Jepun bulan lalu, kini diletakkan sebagai pemain perseorangan ketiga.
''Saya yakin dan tidak ragu, Rashid mampu menggalas cabaran sebagai pemain perseorangan pertama negara jika diberi peluang.
''Bagaimanapun, saya tetap yakin dengan kedudukan skuad negara sekarang dan yakin dengan kekuatan pemain perseorangan sedia ada,'' katanya yang mengendalikan skuad badminton negara bersama-sama dengan bekas jaguh badminton negara, Misbun Sidek.
Namun menurut Frost, kedudukan pemain perseorangan negara tidak menjadi masalah besar baginya mengatur strategi di Manila kerana matlamat utama mereka sekarang ialah layak ke pusingan akhir di Hong Kong.
Di Manila, Malaysia perlu berhadapan dengan cabaran Thailand dan Jepun sebelum boleh menjejak kaki ke Hong Kong.
''Kita tidak menghadapi banyak masalah menghadapi kedua-dua pasukan ini kerana skuad sekarang sudah cukup mantap.
''Thailand misalnya tidak mempunyai pemain perseorangan yang kuat, oleh itu kita mempunyai peluang dalam acara tersebut,'' tegas Frost.
Menurut Frost, walaupun senarai pemain negara yang diumumkan baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan, beliau tetap yakin dengan keadaan skuad negara sekarang.
''Kita perlu berani untuk melakukan sesuatu dan saya sanggup mengambil risiko mengikut apa yang sudah tertera di atas kertas.
''Saya percaya setiap pemain mampu mempamerkan prestasi yang terbaik kerana mereka sekarang sudah menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa,'' katanya.
Sebelum ini, sesetengah pemerhati badminton negara menganggap, jika Rashid diletakkan sebagai pemain perseorangan pertama negara ketika prestasi Ewe Hock lebih baik daripadanya, ia adalah satu kesilapan.
Namun bagi Frost perkara tersebut tidak menjadi masalah baginya, sebaliknya beliau bersedia mempertaruhkan sebuah pasukan yang mempunyai semangat melawan yang kental daripada terlalu bergantung kepada sebuah pasukan yang wujud atas dasar memenuhi kuota sahaja.
Katanya, kedudukan pemain perseorangan yang ada sekarang mampu merangsang pemain-pemain negara mempamerkan semangat melawan yang kental jika strategi yang dirancang menghadapi sebarang masalah.
Sementara itu, skuad badminton negara meneruskan sesi latihan setelah berehat panjang sempena perayaan berkembar Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, semalam.
Walaupun kontroversi mengenai senarai pemain negara yang bakal beraksi di Manila masih diperkatakan, latihan skuad negara tampak berjalan lancar.
Pasangan Jeremy Gan dan Chan Chong Ming yang mengejutkan banyak pihak terutama setelah mereka disenaraikan sebagai beregu ketiga negara menggantikan pasangan yang lebih berpengalaman, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah, berlatih dengan tekun, tanpa menghiraukan kontroversi tersebut.
Tan Fook dan Wan Wah turut bersemangat menjalani latihan apatah lagi setelah kembali diberikan 'perhatian' oleh Frost.
Pemain perseorangan negara, Rashid, Ewe Hock, Hock Kin serta Roslin Hashim, Ismail Saman dan Ong Ewe Mun turut menjalani latihan tersebut yang dikendalikan oleh Frost dan Misbun.