Selasa, 12 Disember 2017

Rashid, Rexy ketua jurulatih perseorangan, beregu

ARKIB : 01/11/2008
KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melantik Rashid Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan, sementara Rexy Mainaky dilantik menjadi ketua jurulatih beregu dalam struktur kejurulatihan baru yang dipersetujui pada satu mesyuarat khas semalam.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Roland Wong Choon Tat berkata, dalam struktur kejurulatihan baru itu, kedua-dua mereka akan bergerak di bawah penyelarasan Pengurus Besar BAM Kenny Goh selaku ketua penyelaras kejurulatihan yang baru.

"Tapi kedua-dua jurulatih diberi kuasa untuk membentuk program latihan sendiri selain berkuasa membuat pemilihan pemain untuk mana-mana kejohanan," katanya semalam.

Peranan Kenny, katanya, lebih bersifat pentadbiran dan pengurusan.

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan yang lama, Yap Kim Hock telah mendapat tawaran untuk menjadi jurulatih dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), katanya.

Sehubungan itu kata Roland, senarai 12 pemain perseorangan lelaki dan enam pemain perseorangan wanita akan diletakkan di bawah tanggungjawab Rashid sementara 19 pemain beregu lelaki dan 12 pemain beregu wanita akan diletakkan di bawah Rexy.

"Mereka akan membuat penilaian terhadap prestasi pemain untuk persediaan Piala Thomas 2010 dan Sukan Olimpik 2012," katanya.

Antara perseorangan yang diletakkan di bawah Rashid adalah Datuk Lee Chong Wei, Muhd. Hafiz Hashim dan Wong Mew Choo sementara Rexy akan bertanggungjawab kepada beregu Tan Boon Heong-Koo Kien Keat serta beregu Mohd. Zakry Abd. Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari.

Rashid sebelum ini adalah jurulatih skuad pelapis kebangsaan, sementara Rexy bertindak sebagai jurulatih beregu.

Dalam perkembangan lain, Malaysia telah dipilih sebagai lokasi pusingan akhir Siri Super yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dari 18-21 Disember ini.

Pusingan akhir Siri Super itu menawarkan hadiah wang tunai RM1.77 juta.

- Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz512W1NIJ4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 4 Disember 2017

Jurang pemain remaja-senior bimbangkan Rashid

ARKIB : 01/09/2008
Rashid Sidek


KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Rashid Sidek berharap lebih ramai pemain skuad Projek 2010-2012 dapat diserap ke dalam pasukan elit kerana bimbang masih wujud jurang ketara antara mereka dan pemain senior.
Katanya, keputusan kejohanan badminton Terbuka Pulau Pinang yang berakhir kelmarin menunjukkan betapa pemain remaja kita belum mampu memberi cabaran serius, walaupun ada antaranya cukup berbakat dan berjaya memberi tentangan sengit kepada pemain utama.
Kejohanan tersebut didominasi dua pemain senior, Mohd. Roslin Hashim dan Muhammad Hafiz Hashim, di mana Roslin pada akhirnya mengalahkan adiknya, Hafiz 21-9, 18-21, 21-12 untuk menjuarai sirkit domestik pertamanya sejak Terbuka Pahang 1999.
Dua anak didik Rashid, Mohd. Arif Abdul Latif dan Liew Darren berjaya melayakkan diri ke separuh akhir sebelum tewas kepada adik-beradik Hashim.
Arif memberi tentangan sengit kepada Roslin sebelum kalah 2-10, 16-21, 16-21, manakala Liew, yang mengejutkan dua pemain kebangsaan, Yeoh Kay Bin dan K. Yogendran dalam pusingan awal, tumpas 16-21, 14-21 kepada Hafiz.
Menurut Rashid, beliau percaya, penamat Terbuka Pulau Pinang mungkin akan berbeza jika pemain remaja berpotensi ini diberi keistimewaan yang diperoleh pemain senior lebih pendedahan antarabangsa.
"Jelas masih ada jurang ketara antara pemain senior dan remaja, dan ia hanya boleh dikurangkan kalau pemain-pemain remaja berpotensi itu diserap ke dalam skuad utama, yang bermakna akan wujud lebih peluang buat mereka untuk bertanding di kejohanan antarabangsa.
"Hari ini, kita sudah mula bercakap mengenai Sukan Olimpik 2012, jadi kalau kita hendak siapkan pemain untuk empat tahun dari sekarang, saya rasa sekarang adalah masa terbaik untuk mengetengahkan pemain remaja ini.
"Saya akan mencadangkan beberapa nama untuk pertimbangan BAM, harap ada tiga atau empat pemain yang dapat diterima oleh mereka,'' kata Rashid, semalam.
Menurut Rashid, jika pemainnya diberi peluang menganggotai skuad senior, sasaran pertamanya adalah membantu mereka memperbaiki ranking dunia, sekali gus mengelak daripada perlu melalui proses kelayakan apabila beraksi pada kejohanan Siri Super.
Selepas menimba lebih banyak pengalaman menentang pemain-pemain utama dunia pada kejohanan besar, sasaran lebih tinggi boleh diletakkan pada 2010.
"Ketika ini, pemain remaja kita tidak mempunyai ranking dunia yang bagus kerana tidak berpeluang bertanding pada kejohanan utama dunia, jadi kalau hendak beraksi di Siri Super, mereka kena mengharungi proses kelayakan yang sukar.
"Bayangkan dalam satu hari saja mereka kena melalui tiga perlawanan kelayakan, jadi kalau ada yang berjaya menempatkan diri ke undian utama, kudrat dan fizikal mereka tidak lagi kuat.
"Sasaran awal saya adalah cuba membantu mereka menaikkan ranking dunia sebaik musim 2009 bermula, harap menjelang pertengahan tahun mereka tidak perlu lalu melalui proses kelayakan apabila bertanding dalam Siri Super,'' katanya.
Kata Rashid lagi, ada beberapa pemain yang dilihat berpotensi untuk melangkah jauh andai diberi lebih banyak pendedahan seperti Chong Wei Feng, Liew, Mohd. Arif dan Tan Chun Seang.
Katanya, kemampuan empat pemain ini hampir serupa, masing-masing memiliki skil dan pukulan yang bagus tetapi perlu dimantapkan lagi dari segi kekuatan fizikal dan permainannya.
BAM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan mereka minggu ini, yang antara lain bakal membincangkan mengenai status ketua jurulatih, rumusan Sukan Olimpik 2008 Beijing serta kedudukan pemain kebangsaan.
Rashid sendiri sebelum ini disebut-sebut sebagai calon utama untuk pengganti Yap Kim Hock bagi menyandang tugas ketua jurulatih kebangsaan.
"Saya serah kepada pengurusan BAM untuk menentukan kedudukan saya tetapi secara peribadi, saya lebih suka tugas jurulatih biasa sebab saya hanya mahu melatih pemain dan tidak berminat dengan tugas pentadbiran.
"Kepakaran saya adalah merangka program latihan pemain dan membimbing mereka, jadi adalah lebih baik saya diberi kebebasan untuk menjalankan tugas saya tanpa perlu memikirkan perkara lain,'' katanya.



© Utusan Melayu (M) Bhd