Sabtu, 25 Mac 2017

Jurulatih perseorangan badminton negara - Rashid sedia terima tawaran



ARKIB : 22/11/2002
Oleh Johari Shawal
BEKAS pemain kebangsaan, Rashid Sidek amat bersedia memikul tugas selaku jurulatih perseorangan negara jika mendapat tawaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bagaimanapun, bekas jaguh perseorangan berusia 34 tahun itu belum menerima sebarang surat tawaran daripada badan induk sukan itu tetapi perbincangan mengenainya sudah diadakan.

``Saya ada berbincang dengan pegawai BAM dan telah pun berjumpa dengan (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara), Datuk Wira Mazlan Ahmad di pejabat beliau, semalam.

``Perbincangan lebih kepada tugas itu tetapi sama ada saya menjadi jurulatih atau tidak akan ditentukan selepas BAM mengadakan mesyuaratnya, Rabu depan,'' kata Rashid.

Katanya, belum ada sebarang pegawai atasan BAM menemui atau menghubunginya mengenai perkara itu.

``Saya hanya mendengar khabar ini daripada media massa tetapi jika benar BAM mahukan saya, saya bersedia memikul tugas itu,'' katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditemui selepas majlis pratonton filem Cinta 200 Ela yang dibintangi Rashid, di KLCC, Kuala Lumpur, semalam.

Rashid mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan BAM mahu beralih kepada jurulatih tempatan untuk mengendalikan barisan pemain negara selepas kontrak jurulatih terdahulu, Indra Gunawan dari Indonesia tidak disambung.

Selain Rashid, abangnya Misbun turut dikatakan menjadi pilihan BAM untuk mengendali pemain negara.

Bagaimanapun Rashid berkata, dia tidak mahu terburu-buru memberi keputusan jika mendapat tawaran daripada BAM.

``Saya perlu mengkajinya terlebih dahulu kerana bukan mudah untuk menjadi jurulatih.

``Saya perlu mendapatkan pandangan daripada jurulatih lain, termasuk abang saya (Misbun),'' kata Rashid.

Rashid juga berkata, jika dia menerima tawaran itu, kemungkinan tugasnya di kelab Nusa Mahsuri sebagai pembantu Misbun akan dilepaskan.

``Tetapi itu tidak bermakna saya tidak langsung mengabaikan pemain Nusa Mahsuri. Mereka masih boleh menjalani latihan bersama BAM seperti yang dilakukan sebelum ini apabila ada pemain Nusa yang bertanding pada peringkat antarabangsa bersama pemain BAM,'' katanya.

Rashid mula menceburi sukan badminton pada usia 17 tahun ketika keluarga Sidek lebih dikenali menerusi kecemerlangan tiga abangnya, Misbun dan pasangan beregu, Razif dan Jalani sebelum menggantung raket pada 2000.

Dalam tempoh itu, pelbagai kejayaan dikecapinya dalam kejohanan kebangsaan dan antarabangsa termasuk merangkul pingat emas dalam dua temasya Sukan Komanwel dan gangsa pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Misbun yang turut hadir pada majlis pratonton itu enggan mengulas mengenai perkara itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cP53cVMV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 Mac 2017

Rashid terjebak ke alam lakonan

ARKIB : 04/01/2002
Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET
SELEPAS menggantung raketnya lebih setahun lalu, bekas pemain badminton negara, Rashid Sidek kini menjalankan dua tugas yang tidak pernah diimpikan; sebagai pelakon dan juga jurulatih.

Rashid, 33, yang memikul tugas terakhir sebagai ketua pasukan skuad Piala Thomas dan Uber 2000 negara tidak menyangka dia kini melakukan dua kerja yang pernah dibencinya dulu.

``Sepanjang menjadi pemain saya tidak pernah terfikir untuk menjadi jurulatih dan jauh sekali untuk menjadi pelakon.

``Malah dulu saya pernah berkata, kerja yang paling akhir yang akan saya lakukan adalah berlakon.

``Tetapi kini nampaknya saya melakukan kerja ini walaupun mungkin ramai yang tidak menyangka saya boleh berlakon,'' kata Rashid yang sibuk mengendalikan latihan di Kompleks Sukan MPPJ, Kelana Jaya.

Rashid dipilih membintangi filem Cinta 200 Ela terbitan kakak iparnya, Raja Azmi Raja Sulaiman yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Mengenai pembabitannya dalam sukan badminton, Rashid berkata, minatnya dalam sukan itu masih menebal walaupun dia tidak mungkin lagi akan turun bertanding.

``Saya tidak boleh bermain secara serius untuk mengelak kecederaan berulang tetapi saya akan tetap turun berlatih setiap kali berkesempatan.

``Rasanya tidak selesa kalau telah lama sangat tidak turun ke gelanggang dan mengeluarkan peluh,'' katanya tidak lupa memberi tips dan tunjuk ajar kepada pemain lain setiap kali turun ke gelanggang.

Mengenai kariernya sebagai jurulatih, Rashid berkata, setakat ini hatinya masih belum terbuka untuk menjalankan tugas itu secara sepenuh masa.

``Saya tetap membantu memberi tunjuk ajar hasil pengalaman sebagai pemain tetapi ketika ini terdapat peluang lain yang boleh saya jadikan karier seperti berlakon.

``Tak tahulah mungkin dalam tempoh dua tiga tahun lagi saya akan dapat membuat keputusan menjadi jurulatih sepenuh masa seperti Misbun (Sidek),'' katanya.

Sementara itu, Misbun mengakui khidmat Rashid diperlukan untuk membantu pemain seperti Roslin Hashim dan adik-adiknya Hafiz dan Mohamad.

``Dia mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu kemampuan untuk menganalisa permainan pemain serta memberi tip terperinci mengenai kelemahan dan kelebihan lawan.

``Keupayaannya ini, penting untuk menolong pemain-pemain yang sudah berkemampuan seperti Roslin dan Hafiz mengenalpasti perkara-perkara terperinci berkaitan teknik permainan pemain dan lawannya,'' kata Misbun.

Oleh sebab itulah Misbun pernah menugaskannya sebagai jurulatih membawa pemain Nusa Mahsuri ke beberapa kejohanan antarabangsa seperti Terbuka Singapura, Terbuka China dan Terbuka Denmark.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4bqLh3F00

© Utusan Melayu (M) Bhd