4.1.98
RASHID Sidek akan menggalas cabaran sebagai pemain
perseorangan pertama negara pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala
Thomas di Hong Kong jika mampu memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) Morten Frost Hansen, Rashid berpeluang menjadi pemain perseorangan
pertama jika kedudukannya dalam rankingdunia
mengatasi dua lagi rakan senegaranya, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin.
Mengikut peraturan badminton antarabangsa, penentuan
kedudukan pemain perseorangan pada cabaran Piala Thomas adalah berdasarkan
kedudukan dalam ranking dunia.
Berdasarkan ranking yang dikeluarkan selepas Terbuka
Jepun, Ewe Hock dan Hock Kin masih berada di hadapan Rashid dan ini meletakkan
mereka sebagai pemain perseorangan pertama dan kedua pada pusingan kelayakan
Piala Thomas di Manila yang bermula 15 Februari ini.
Frost yang ditemui selepas sesi latihan skuad negara
di Kuala Lumpur, semalam berkata, kedudukan muktamad pemain perseorangan
pertama negara di Hong Kong kelak adalah berdasarkan kedudukan terkini ranking dunia.
''Jika Rashid berjaya memperbaiki kedudukannya selepas
pusingan kelayakan di Manila dan menjelang pusingan akhir di Hong Kong, dia
mungkin menjadi pemain perseorangan pertama negara,'' katanya. Baginya, Rashid
masih dianggap pemain terbaik perseorangan walaupun Ewe Hock dan Hock Kin
mengatasinya dalam ranking dunia.
Mengikut senarai yang diumumkan oleh BAM baru-baru
ini, Rashid yang tidak banyak menyertai kejohanan antarabangsa tahun lalu,
tetapi bertindak cemerlang hingga ke separuh akhir Terbuka Jepun bulan lalu,
kini diletakkan sebagai pemain perseorangan ketiga.
''Saya yakin dan tidak ragu, Rashid mampu menggalas
cabaran sebagai pemain perseorangan pertama negara jika diberi peluang.
''Bagaimanapun, saya tetap yakin dengan kedudukan
skuad negara sekarang dan yakin dengan kekuatan pemain perseorangan sedia
ada,'' katanya yang mengendalikan skuad badminton negara bersama-sama dengan
bekas jaguh badminton negara, Misbun Sidek.
Namun menurut Frost, kedudukan pemain perseorangan
negara tidak menjadi masalah besar baginya mengatur strategi di Manila kerana
matlamat utama mereka sekarang ialah layak ke pusingan akhir di Hong Kong.
Di Manila, Malaysia perlu berhadapan dengan cabaran
Thailand dan Jepun sebelum boleh menjejak kaki ke Hong Kong.
''Kita tidak menghadapi banyak masalah menghadapi
kedua-dua pasukan ini kerana skuad sekarang sudah cukup mantap.
''Thailand misalnya tidak mempunyai pemain
perseorangan yang kuat, oleh itu kita mempunyai peluang dalam acara tersebut,''
tegas Frost.
Menurut Frost, walaupun senarai pemain negara yang
diumumkan baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan, beliau tetap yakin dengan
keadaan skuad negara sekarang.
''Kita perlu berani untuk melakukan sesuatu dan saya
sanggup mengambil risiko mengikut apa yang sudah tertera di atas kertas.
''Saya percaya setiap pemain mampu mempamerkan
prestasi yang terbaik kerana mereka sekarang sudah menunjukkan peningkatan dari
semasa ke semasa,'' katanya.
Sebelum ini, sesetengah pemerhati badminton negara
menganggap, jika Rashid diletakkan sebagai pemain perseorangan pertama negara
ketika prestasi Ewe Hock lebih baik daripadanya, ia adalah satu kesilapan.
Namun bagi Frost perkara tersebut tidak menjadi
masalah baginya, sebaliknya beliau bersedia mempertaruhkan sebuah pasukan yang
mempunyai semangat melawan yang kental daripada terlalu bergantung kepada
sebuah pasukan yang wujud atas dasar memenuhi kuota sahaja.
Katanya, kedudukan pemain perseorangan yang ada
sekarang mampu merangsang pemain-pemain negara mempamerkan semangat melawan
yang kental jika strategi yang dirancang menghadapi sebarang masalah.
Sementara itu, skuad badminton negara meneruskan sesi
latihan setelah berehat panjang sempena perayaan berkembar Tahun Baru Cina dan
Hari Raya Aidilfitri, semalam.
Walaupun kontroversi mengenai senarai pemain negara
yang bakal beraksi di Manila masih diperkatakan, latihan skuad negara tampak
berjalan lancar.
Pasangan Jeremy Gan dan Chan Chong Ming yang
mengejutkan banyak pihak terutama setelah mereka disenaraikan sebagai beregu
ketiga negara menggantikan pasangan yang lebih berpengalaman, Choong Tan Fook
dan Lee Wan Wah, berlatih dengan tekun, tanpa menghiraukan kontroversi
tersebut.
Tan Fook dan Wan Wah turut bersemangat menjalani
latihan apatah lagi setelah kembali diberikan 'perhatian' oleh Frost.
Pemain perseorangan negara, Rashid, Ewe Hock, Hock Kin
serta Roslin Hashim, Ismail Saman dan Ong Ewe Mun turut menjalani latihan
tersebut yang dikendalikan oleh Frost dan Misbun.